
Sebelum ini, kita sudah menyaksikan beberapa syarikat berjaya melancarkan dan mendaratkan semula roket mereka. Ini merupakan langkah yang memberikan impak besar dalam mengurangkan kos dalam bidang aeroangkasa, khususnya untuk pelancaran berulang.
Kini, bukan hanya syarikat terkenal seperti SpaceX yang mencipta kejayaan ini. Honda, menerusi salah satu anak syarikat penyelidikannya, turut menunjukkan keupayaan dengan berjaya melancarkan dan memulangkan semula roket ciptaan mereka sendiri ke bumi.
Dalam ujian terbaharu, Honda melaporkan bahawa roket berkenaan telah mencapai ketinggian setinggi 300 meter sebelum ia berjaya mendarat semula dengan selamat. Percubaan ini adalah ujian sulung yang dilakukan oleh Honda, dan hasilnya disahkan berjaya sepenuhnya.
Buat masa ini, projek ini masih berada dalam fasa penyelidikan dan pembangunan, dan belum lagi disasarkan untuk tujuan komersial dalam masa terdekat.
Walaupun begitu, pencapaian ini membuktikan bahawa Honda memiliki kepakaran teknologi yang luas, bukan sahaja dalam automotif dan sistem swapandu, tetapi juga dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa yang berpotensi tinggi.
Sumber: Astro Awani, Amanz