Redmi bakal melancarkan peranti terbaharunya, Redmi Note 15 Pro+, secara rasmi di pasaran China pada 21 Ogos 2025. Model ini diumumkan dengan penambahbaikan ketara yang memberi fokus kepada kapasiti bateri, paparan visual, serta ciri ketahanan.
Antara spesifikasi utama yang paling menonjol ialah bateri berkapasiti 7000 mAh, salah satu yang terbesar dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan. Bateri ini menyokong pengecasan pantas 90W, selain dilengkapi fungsi pengecasan terbalik 22.5W yang membolehkan ia digunakan sebagai sumber tenaga untuk mengecas peranti lain. Menurut pihak Redmi, ketahanan bateri ini mampu mengekalkan sehingga 1,600 kitaran pengecasan, sekaligus memberi jangka hayat lebih lama kepada pengguna.
Dari segi paparan, Redmi Note 15 Pro+ akan menggunakan skrin 6.83 inci micro-curved dengan resolusi 1.5K, kecerahan puncak sehingga 3,200 nits, serta perlindungan Dragon Crystal Glass. Spesifikasi ini menjadikan paparan peranti setanding dengan telefon pintar kelas flagship. Tambahan pula, ia disahkan dengan pensijilan IP69K, menandakan tahap ketahanan tinggi terhadap debu dan air.
Selain itu, peranti ini dijangka dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 7s Gen 4, dengan pilihan RAM sehingga 16GB. Ia turut dilaporkan menyokong fungsi komunikasi satelit melalui BeiDou, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam kategori telefon pintar pertengahan.
Kombinasi antara bateri besar, paparan berkualiti tinggi, serta ciri premium ini meletakkan Redmi Note 15 Pro+ sebagai salah satu model yang paling dinantikan dalam pasaran, bukan sahaja di China malah di peringkat global.
Sumber: Amanz



