Pengalaman Jadi Kunci Kemenangan SRG.OG Dalam MPL MY S15

Pengalaman Jadi Kunci Kemenangan SRG.OG Dalam MPL MY S15

Selangor Red Giants (SRG.OG) terus menunjukkan taring apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan DX Soul 2-0 dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-15.

Pemain utama SRG.OG, Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Sekysss, mengakui pengalaman luas yang dimiliki pasukan mereka menjadi faktor utama kejayaan tersebut. Katanya, pengalaman beraksi dalam beberapa musim MPL memberi kelebihan besar berbanding DX yang baru sahaja menyertai liga musim ini.

“Saya rasa pengalaman banyak membantu kami. DX baru layak musim ini, sedangkan kami sudah lama di MPL. Jadi, itu memang kelebihan kami,” kata Sekysss selepas aksi minggu ke-2 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Jurulatih taktikal SRG.OG, Poon Kok Sing (OzoraVeki), turut bersetuju, memuji prestasi DX Soul sebagai pasukan baharu dan menekankan bahawa pengalaman akan menjadi faktor penting dalam membentuk kekuatan mereka.

“Saya lihat DX Soul sudah menunjukkan potensi. Mereka perlukan masa untuk mengukuhkan identiti dan pengalaman mereka,” jelasnya.

SRG.OG, yang juga juara bertahan MPL Malaysia, bakal meneruskan cabaran mereka menentang Monster Vicious (MV) dalam perlawanan seterusnya, yang dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan memburu kemenangan berterusan.

Sumber: Harian Metro, MPL Malaysia

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *