Mewujudkan Kelab e-Sukan di Sekolah Rendah: Langkah Penting Memajukan Industri

Mewujudkan Kelab e-Sukan di Sekolah Rendah: Langkah Penting Memajukan Industri

Industri e-sukan di Malaysia terus berkembang pesat, namun wujud cabaran dalam membangunkan ekosistem yang kukuh, terutama dalam sektor pendidikan. Ahli Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin, menekankan kepentingan pembinaan bakat sejak peringkat awal bagi memastikan kelangsungan industri ini.

Menurut beliau, kelab e-sukan perlu diwujudkan di sekolah rendah sebagai langkah awal untuk mencungkil bakat baharu. Selain itu, penganjuran pertandingan e-sukan di peringkat tempatan juga perlu diperbanyakkan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk bersaing dan meningkatkan kemahiran mereka.

“Kelab e-sukan juga perlu diwujudkan. Selain itu, pertandingan perlu dipergiatkan dan kita boleh meniru struktur liga seperti bola sepak yang mempunyai tier tertentu. Buat masa ini, masih belum ada inisiatif sebegini di setiap negeri,” katanya.

Pasukan eRimau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Kejohanan AFC, Piala eAsian 2023

Dr. Mohamed Nashrudin juga berpandangan bahawa setiap negeri seharusnya mempunyai pasukan e-sukan yang mantap dan disokong oleh dana daripada pelbagai pihak. Beliau yakin bahawa mendapatkan penaja bukan satu isu besar kerana populariti e-sukan yang semakin meningkat telah menarik minat ramai pihak untuk melabur.

“Saya lihat negeri yang sedang ke hadapan dalam pembangunan e-sukan ialah Selangor dan Sarawak. Mereka telah mula mengambil inisiatif untuk membangunkan industri ini dengan lebih tersusun,” tambahnya.

Pasukan Selangor Bersama Trofi Juara Keseluruhan Liga Jelajah Juara Esports Malaysia Musim Pertama

Dalam usaha memperkukuh ekosistem e-sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) telah meningkatkan peruntukan dana kepada RM1 juta, berbanding RM250,000 sebelum ini. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan industri ini sebagai salah satu sektor penting dalam ekonomi digital negara.

Memandangkan jumlah bakat e-sukan di peringkat sekolah rendah masih rendah, usaha seperti ini amat penting bagi memastikan Malaysia terus bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan adanya kelab e-sukan sejak usia muda dan sokongan yang kukuh dari kerajaan serta pihak swasta, industri ini berpotensi untuk berkembang lebih jauh di masa hadapan.

Sumber: Astro Awani

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *