Menjelang musim ke-15 MPL Malaysia, MOONTON Games memberi bayangan besar bahawa liga ini mungkin akan beralih kepada sistem francais tidak lama lagi. Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Esukan Malaysia MOONTON, Fikri Rizal Mahruddin, dalam sidang media baru-baru ini.

Menurut Fikri, sistem francais sedang dipertimbangkan secara serius sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memajukan ekosistem esukan MLBB di Malaysia.
“Melihat kejayaan MPL Indonesia dan MPL Filipina selepas bertukar ke model francais, kita nampak banyak manfaat seperti kestabilan kewangan untuk pasukan, peluang pelaburan jangka panjang, dan ekosistem yang lebih teratur untuk pemain profesional. Model ini jelas bantu memperkukuh struktur esukan negara,” kata beliau.
Untuk makluman, MPL Indonesia mula menggunakan sistem francais sejak 2019, diikuti MPL Filipina pada 2021. Kedua-dua liga itu mencatatkan lonjakan tontonan yang luar biasa, dengan MPL PH mencecah 1.6 juta penonton puncak, manakala MPL ID pula mencecah 4 juta.
Walaupun belum lagi menggunakan sistem francais, MPL Malaysia tetap menunjukkan peningkatan hebat dengan rekod 870,000 penonton pada musim ke-14 tahun lalu.
Fikri turut menyatakan bahawa pengumuman rasmi berkenaan peralihan ke sistem francais dijangka akan dibuat dalam separuh kedua tahun ini.
Strategi Baharu Musim ke-15 MPL Malaysia

Dalam usaha untuk memperkasakan lagi MPL Malaysia, beberapa perubahan turut diperkenalkan bagi musim ke-15, termasuk keputusan untuk mengenakan bayaran tiket bagi perlawanan musim biasa. Sebelum ini, kemasukan adalah percuma.
“Langkah ini diambil untuk menaik taraf pengalaman penonton serta infrastruktur liga secara keseluruhan,” jelas Fikri.
Tiket dijual pada harga RM10 dan sambutan amat menggalakkan — tiket untuk minggu pembukaan telah pun habis terjual. Musim ini juga akan kembali ke Stadium Juara, Bukit Kiara, yang dianggap sebagai lokasi terbaik untuk MPL Malaysia dengan kemudahan ruang pameran bagi jenama dan pasukan.
Antara tarikan musim ini adalah pelbagai aktiviti untuk penonton, termasuk kolaborasi khas bersama siri popular Naruto yang dijadualkan pada minggu kedua dan ketiga liga.
Musim ke-15 ini juga menandakan tahun terakhir pelan pembangunan esukan MLBB yang bermula sejak musim ke-7. Tahun 2025 dijangka menjadi permulaan kepada fasa baharu dalam strategi pengembangan MOONTON di Malaysia.
“Apa jua yang kami lakukan dalam MPL Malaysia, matlamat utama adalah untuk memastikan ia memberi impak positif jangka panjang kepada liga dan seluruh komuniti esukan MLBB. Pada masa yang sama, kami mahu semua pihak mendapat manfaat secara adil,” tambah Fikri.
MPL Malaysia Musim 15 bakal membuka tirai pada 19 April ini, dengan 10 pasukan akan bersaing untuk merebut dua tempat ke Mid-Season Cup 2025. Para peminat boleh menyaksikan aksi secara langsung di saluran rasmi YouTube Mobile Legends: Bang Bang.
Sumber: Esports Insider