Pasukan Homebois kini berada di landasan terbaik untuk layak ke Mid Season Cup (MSC) 2025 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat playoff Liga Profesional Malaysia (MPL) lebih awal.

Keyakinan itu disuarakan oleh pengasas Homebois, Nureddy Nursal (Daddyhood), selepas pasukannya yang juga juara MPL Malaysia Musim Ke-12 menunjukkan prestasi konsisten dalam musim ini dengan mengesahkan tempat ke playoff seawal minggu keempat.
“Kami ada strategi untuk ke MSC di Riyadh dan saya percaya kami di laluan yang tepat. Momentum kini milik kami, tetapi kejayaan tetap bergantung kepada usaha semua pemain,” jelas Daddyhood kepada media.
Setakat ini, Homebois menjadi antara tiga pasukan pertama yang layak ke playoff MPL Musim Ke-15, bersama Selangor Red Giants OG Esports (SRG) dan Monster Vicious (MV). Tiga lagi pasukan akan ditentukan dalam minggu terakhir liga.
Pusingan playoff akan berlangsung dalam dua fasa, iaitu pada 31 Mei hingga 1 Jun, dan bersambung pada 14 hingga 15 Jun.
Dua pasukan terbaik yang mara ke perlawanan akhir playoff akan layak secara automatik ke MSC 2025, sekali gus membawa nama negara ke pentas global Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi pada Julai nanti.
Sumber: Homebois Official, Harian Metro
Ikuti Kami Di: