FIA Lancar Kejohanan Sim Racing Khas Untuk Wanita di Peringkat Global!

FIA Lancar Kejohanan Sim Racing Khas Untuk Wanita di Peringkat Global!

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), badan induk sukan permotoran dunia, telah melancarkan kejohanan esukan sim racing peringkat global khas untuk wanita dan gadis berusia 16 tahun ke atas.

Dikenali sebagai FIA Girls of Track Esports Cup, kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama pengeluar rig simulasi Advanced SimRacing dan platform perlumbaan popular, iRacing.

FIA menyatakan bahawa penyertaan terbuka kepada semua tanpa mengira pengalaman dalam esukan. Syarat utama hanyalah pendaftaran di laman web FIA dan memiliki akaun iRacing yang aktif.

Peringkat kelayakan dalam talian telah pun bermula, di mana peserta perlu mencatat masa terpantas dalam mod Time Attack iRacing. Fasa ini akan berakhir pada 6 Mei 2025.

Selepas itu, 10 peserta terbaik akan diterbangkan ke Macau sempena Minggu Perhimpunan Agung Luar Biasa FIA 2025 pada bulan Jun. Di sana, mereka akan bertanding secara fizikal dalam pusingan akhir selama beberapa hari untuk merebut gelaran juara sulung FIA Girls of Track Esports Cup.

Selain bertanding, finalis juga akan diberikan pendedahan berkaitan industri permotoran seperti bengkel latihan media dan sesi jaringan bersama tokoh industri.

Presiden Suruhanjaya Esukan FIA, Niroshan Pereira, menekankan bahawa penyertaan wanita dalam esukan sangat penting untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan berterusan dalam bidang ini.

“Kami mahu lebih ramai wanita menyertai esukan dan melihat potensi kerjaya dalam sukan permotoran. Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada mereka yang berminat untuk mula berjinak-jinak dalam sim racing,” katanya.

Ini merupakan kali pertama inisiatif Girls of Track digunakan dalam dunia esukan. Sebelum ini, program FIA Girls on Track – Rising Stars (2020–2023) memberi sokongan kepada pelumba wanita muda di peringkat pembangunan.

Pelancaran kejohanan ini juga selari dengan langkah FIA ke dalam dunia esukan, selepas mereka meluluskan FIA Esports Code, iaitu rangka kerja rasmi untuk mengawal selia pertandingan sim racing di peringkat global.

Sumber: Esports Insider

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *