Pasukan DXStream berjaya meraih gelaran juara e-sukan Mobile Legends dalam Siri Cabaran Pertandingan Asia yang berakhir pada 19 Januari lalu, membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.
Pasukan ini dibarisi Syed Fitri Abharshah (SunSeishiro), Muhammad Akmal Hakimin (M1NGKONG), Muhammad Razif Sazali (Sizkaa), Muhammad Taufiq Hidayat (SkyZED), dan Muhammad Faris Badrul Zaman (Aishh). Mereka menewaskan 16 pasukan lain untuk muncul sebagai juara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan, kejohanan ini bukan hanya platform mencungkil bakat e-sukan, tetapi juga menggalakkan anak muda menyertai aktiviti bermanfaat.
“Kami mahu ‘influencer’ dan peserta bukan sekadar mencipta kandungan, tetapi juga menyumbang kepada perpaduan dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, kejohanan turut menekankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program zakat dan lawatan ke rumah warga emas serta anak yatim menjelang Ramadan.
Naib juara kejohanan dimenangi pasukan Natsu & Friends, menerima RM3,000, manakala tempat ketiga, pasukan Aii Taubat Dakgi, membawa pulang RM1,000 bersama trofi masing-masing.
Siri Cabaran Pertandingan Asia akan terus menjadi platform berprestij, memupuk perpaduan dan menyumbang impak sosial yang positif.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian