Tiga pemain e-Sukan dari pasukan Selangor Red Giants (SRG.OG) menerima penghormatan tertinggi apabila dianugerahkan Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mereka ialah Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Haqqullah (Sekys) dan Muhammad Qayyum (Yums) – barisan utama yang membawa pulang trofi Piala Dunia MSC Esports 2024 di Riyadh, Arab Saudi, sekali gus memenangi hadiah bernilai USD1,000,000 (RM4.66 juta).
Lebih membanggakan, Muhammad Haqqullah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam arena Mobile Legends peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa e-Sukan bukan lagi aktiviti sampingan, sebaliknya telah diiktiraf sebagai sukan berprestij yang mendapat perhatian pihak istana dan kerajaan negeri.
Kejayaan SRG.OG ini juga membuktikan bahawa industri e-Sukan di Malaysia semakin berkembang, hasil sokongan pelbagai pihak termasuk penganjuran kejohanan akar umbi dan pelaburan dalam pembangunan bakat muda.
SRG.OG kini bukan sekadar pasukan bertanding, tetapi simbol kebangkitan dan kejayaan anak muda Malaysia di pentas dunia.
Kemenangan mereka turut menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk mengejar impian dalam industri e-Sukan sebagai kerjaya profesional masa depan.
Sumber: Harian Metro