Musim ke-15 Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL Malaysia) bakal membuka tirai pada 19 April ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, dengan perubahan besar apabila peminat perlu membeli tiket masuk berharga RM10.
Menurut Ketua E-Sukan Malaysia MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin, inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengalaman penonton serta menyokong pertumbuhan jangka panjang industri e-sukan negara.
“Kami mahu peminat rasai bahawa mereka sedang menonton liga yang benar-benar profesional dan menghiburkan. Ini juga satu langkah ke arah membina ekosistem e-sukan yang kukuh dan berdaya saing di Malaysia,” ujar Fikri.

Beliau menambah bahawa sambutan dari komuniti setakat ini adalah positif, dan bayaran masuk ini dilihat sebagai cara untuk mendidik peminat tentang nilai dalam menyokong industri – bukan sekadar menonton, tetapi turut menyumbang melalui pembelian tiket dan barangan pasukan.
Musim kali ini mengekalkan format dua peringkat, iaitu musim biasa dari 19 April hingga 25 Mei, diikuti dengan playoff. Sepuluh pasukan terbaik negara bakal bersaing setiap minggu untuk merebut tempat ke peringkat akhir.
Dua pasukan teratas akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia E-Sukan x Mid Season Cup Mobile Legends: Bang Bang 2025 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada bulan Julai.
Sebagai info, MOONTON ditubuhkan pada 2014 dan kini merupakan antara syarikat peneraju global dalam pembangunan permainan video dan penganjuran kejohanan e-sukan. MLBB pula terus menjadi antara judul utama yang paling popular dalam arena e-sukan seluruh dunia.
Sumber: Harian Metro