E-sukan Jadi Tarikan Remaja ke Masjid, Eratkan Hubungan Komuniti

E-sukan Jadi Tarikan Remaja ke Masjid, Eratkan Hubungan Komuniti

Penganjuran pertandingan e-sukan secara berkala oleh Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Perak, berjaya menarik minat golongan remaja mendekati masjid. Program ini bukan sahaja menyemarakkan penglibatan anak muda, malah memudahkan pihak masjid mencari sukarelawan untuk pelbagai aktiviti komuniti.

Suasana sekitar pertandingan e-sukan dianjurkan Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh.

Pengerusi masjid, Mat Razali Abdul Rahman, memaklumkan bahawa pertandingan tersebut berjaya menggalakkan penglibatan pelbagai kaum dan agama, sekaligus menjadi platform dakwah yang menunjukkan keterbukaan Islam.

Beliau berkata, pada tahun 2025, pihak masjid merancang untuk menambah baik pelaksanaan program termasuk mewujudkan kerjasama dengan sekolah-sekolah sekitar bagi menjaga kebajikan ahli kariah.

“Melalui beberapa program e-sukan anjuran pihak masjid yang lalu, antara kebaikan yang saya nampak ialah kita ada rangkaian dengan sekolah-sekolah. Jadi dari situ kita boleh buat ‘survey’ seperti mengenai kehadiran pelajar ke sekolah dan prestasi pelajaran mereka.

Ia juga membantu pihak masjid mengenal pasti latar belakang keluarga mereka, sama ada asnaf yang harus dibantu pihak masjid seperti dari segi yuran sekolah, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Selepas menganjurkan pertandingan pada Disember 2023 bersama pusat siber, masjid itu telah dipilih oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sebagai antara dua masjid di daerah Kinta yang menerima tajaan untuk meneruskan program e-sukan pada September 2024. Seramai 230 peserta pelbagai kaum telah menyertai acara tersebut sebelum ini.

“Selepas program pada Disember 2023, masjid kami terpilih untuk ditaja JBS bagi menganjurkan lagi program (pertandingan) e-sukan pada September 2024. Bilangan peserta ketika itu lebih kurang 230 orang terdiri daripada berbilang bangsa” katanya.

Menurut Mat Razali, keterlibatan pelbagai kaum dalam program ini turut memperkukuh semangat perpaduan. Beliau menegaskan bahawa masjid wajar berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga pusat sosial yang mampu menarik minat golongan muda.

Tambahnya lagi, perkara ini selari dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Januari 2024, yang menggesa masyarakat melihat e-sukan secara positif dalam membentuk daya fikir strategik dan kritikal.

Selaras dengan inisiatif Perak Sejahtera 2030 yang dibawa oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, e-sukan telah diangkat sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan dan ekonomi digital negeri melalui penubuhan Akademi e-Sukan dan kerjasama bersama JBS serta Majlis Sukan Negeri.

Sumber: Berita Harian

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *