Team Vitality Memperkenalkan Pemain “Grandmaster” Catur Professional, Maxime Vachier-Lagrave!

Team Vitality Memperkenalkan Pemain “Grandmaster” Catur Professional, Maxime Vachier-Lagrave!

Pasukan esukan Perancis, Team Vitality, telah mengumumkan bahawa Grandmaster catur terkenal, Maxime ‘MVL’ Vachier-Lagrave, sebagai pemain profesional terbaru mereka.

Sebagai wakil rasmi Team Vitality, MVL akan bertanding di kejohanan antarabangsa dan terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti, menghubungkan dunia esukan dengan komuniti catur.

Pemain GrandMaster Catur Professional, Maxime 'MVL' Vachier-Lagrave

MVL: Grandmaster Catur Perancis

MVL memperoleh gelaran Grandmaster pada usia 14 tahun dan telah lama berada dalam senarai 10 pemain catur terbaik dunia menurut Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE). Kini, beliau berada di kedudukan ke-7 dunia dalam kategori Rapid Chess.

Antara pencapaian hebatnya termasuk lima kemenangan di Kejohanan Biel Grandmaster, dua gelaran Sinquefield Cup, dan kejayaan merangkul gelaran Juara Dunia Blitz pada tahun 2021.

Debut Bersama Team Vitality

MVL akan membuat penampilan pertamanya bersama Team Vitality dalam kejohanan Chessable Masters, iaitu acara pembuka bagi Champions Chess Tour 2025.

Pada Disember 2024, Esports World Cup (EWC) mengumumkan penambahan catur sebagai salah satu kategori pertandingan, dengan Grandmaster Magnus Carlsen sebagai duta rasmi. EWC ialah festival esukan yang disokong oleh kerajaan Arab Saudi, yang mengumpul mata dari pelbagai kategori permainan untuk menentukan pasukan terbaik.

Team Vitality juga akan bersaing dalam kategori lain seperti CS2 dan Rocket League di EWC. MVL berharap dapat menyumbang mata dalam kategori Rapid Chess untuk pasukannya.

Menurut MVL:

“Saya sangat teruja menyertai Team Vitality dalam perjalanan baharu ini di dunia esukan! Ini adalah cabaran menarik, dan dua kejohanan kelayakan yang akan datang menjadi penentu dalam musim 2025 saya untuk EWC.”

Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan catur dalam esukan memberikan peluang besar untuk memperluaskan minat terhadap permainan ini dan menginspirasi generasi baharu.

Selain MVL, Team Vitality turut memperkukuhkan pasukan mereka dengan penambahan penganalisis Counter-Strike, Jacob ‘Pimp’ Winneche, dan pemain profesional VALORANT, Ardis ‘Ardiis’ Svarenieks, pada bulan sebelumnya.

Sumber: Esports Insider

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *