Microsoft secara rasmi telah menamatkan perkhidmatan aplikasi panggilan video popular, Skype, selepas hampir 14 tahun memilikinya. Pengumuman mengenai penamatan ini telah dibuat sejak tahun lalu, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 5 Mei 2025. Pengguna turut diberikan tempoh selama 10 minggu untuk memindahkan data, sejarah perbualan dan kenalan ke Microsoft Teams, platform komunikasi yang kini menjadi keutamaan Microsoft.

Penutupan Skype bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ramai pihak telah menjangkakan langkah ini sejak pelancaran Microsoft Teams, yang dilihat sebagai pengganti lebih moden dan menyeluruh. Antara petunjuk awal penamatan ini ialah pengurangan kemas kini dan tiadanya ciri baharu yang diperkenalkan dalam beberapa tahun kebelakangan.
Sebelum tahun 2020, Skype pernah menjadi peneraju dalam dunia aplikasi telesidang dengan lebih daripada 200 juta pengguna bulanan, serta menguasai kira-kira 32% pasaran global. Namun, semasa pandemik, aplikasi seperti Zoom dan Google Meet mula mengambil alih kerana menawarkan kapasiti pengguna yang lebih besar dan pengalaman yang lebih lancar. Sebelum ditamatkan, Skype hanya mencatatkan sekitar 40 juta pengguna bulanan.
Sumber – Amanz