Sam Altman, CEO OpenAI dan kini bapa kepada bayi berusia 3 bulan, berkongsi secara terbuka bagaimana pengalaman menjaga anaknya dipengaruhi oleh teknologi yang dibangunkannya sendiri – ChatGPT. Dalam episod pertama podcast terbaru OpenAI, Altman mendedahkan bahawa beliau kini seorang yang “extremely kid-pilled”, dan hampir setiap hari menggunakan ChatGPT untuk bertanyakan soalan mengenai tingkah laku bayi, terutama pada minggu-minggu awal selepas kelahiran.
“Orang dah lama berjaya jaga anak tanpa ChatGPT,” katanya sambil bergurau, “Tapi saya tak pasti macam mana saya boleh buat kalau tak ada AI ni.”

Teknologi Ganti Google Untuk Ibu Bapa Baharu
Realitinya, penggunaan ChatGPT oleh Altman taklah berbeza sangat daripada kebiasaan ibu bapa yang Google soalan tengah malam bila anak menangis tanpa sebab. Tapi apabila ia datang daripada orang yang membina teknologi itu sendiri, ia jadi satu refleksi jelas bagaimana AI kini menembusi kehidupan peribadi — termasuk bab keibubapaan.
Namun begitu, penggunaan AI sebegini tetap timbulkan persoalan. Dengan masalah hallucination (maklumat palsu) yang masih menghantui teknologi seperti ChatGPT, adakah selamat bergantung sepenuhnya kepada chatbot untuk keputusan penjagaan bayi? Tapi seperti mana ibu bapa pernah selongkar forum Facebook dan blog rawak tengah malam, mungkin ChatGPT hanyalah alternatif moden untuk kekeliruan yang sama.
“Adakah lebih bahaya guna AI, atau ikut nasihat makcik random online yang kata bayi mesti tidur ikut fasa bulan?” sindir penulis artikel asal.
Kanak-Kanak & AI: Sempadan Baru Yang Perlu Dijaga
Altman turut menyentuh tentang satu video viral: seorang bayi yang menekan majalah berkilat seolah-olah ia skrin iPad. Fenomena ini menggambarkan bagaimana generasi baru akan membesar menganggap AI sebagai benda biasa, bukan teknologi luar biasa.
Bekas jurucakap sains OpenAI, Andrew Mayne, turut berkongsi satu kisah di mana seorang bapa menggunakan voice mode ChatGPT untuk bersembang dengan anak kecilnya yang obses dengan Thomas the Tank Engine.
“Dia dah penat nak layan cerita Thomas tu, jadi dia bagi ChatGPT yang sambung sembang. Sejam kemudian, anak tu masih tak habis-habis cakap pasal kereta api!” kata Mayne sambil ketawa.
Altman menambah, “Kids love voice mode.”
Risiko & Realiti AI Dalam Dunia Kanak-Kanak
Walaupun penggunaan AI boleh bantu ibu bapa, OpenAI sendiri menyatakan ChatGPT tidak disarankan untuk pengguna bawah umur 13 tahun, dan masih belum ada mod khas yang mesra kanak-kanak atau diluluskan pakar pendidikan. Altman sendiri akui bahawa penggunaan AI dalam hal ini bukanlah semuanya positif.
“Akan ada masalah. Hubungan parasocial yang tak sihat mungkin terbentuk, dan masyarakat perlu bina sempadan baru,” katanya.
Walaupun belum jelas kesan jangka panjangnya, Altman optimis bahawa manfaat AI akan jauh melebihi risikonya, dan masyarakat akan belajar menguruskannya seiring masa.
“The upsides will be tremendous!” kata Altman. “Masyarakat selalunya bijak dalam urus keburukan.”
Sumber: TechCrunch
Ikuti Kami Di: