
Proton secara rasmi mengumumkan kemunculan semulanya di pasaran Singapura dengan pelancaran model kenderaan elektrik pertamanya, Proton e.MAS7. Kemunculan ini direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan VINCAR Group, iaitu pengedar rasmi Proton di negara tersebut.
Sebagai usaha untuk menarik minat pengguna, Proton telah melancarkan laman web khusus untuk pasaran Singapura, sekali gus memperkenalkan edisi khas “Founders Edition” yang terhad kepada 99 unit pertama. Tawaran istimewa ini turut disertakan dengan servis penyelenggaraan percuma selama 10 tahun, serta jaminan bateri selama 10 tahun, menjadikan ia satu pakej yang amat menarik bagi pembeli awal.
Buat masa ini, Proton telah membuka sesi pendaftaran minat bagi penduduk Singapura yang ingin menjadi antara pemilik awal Proton e.MAS7. Maklumat penuh berkaitan harga jualan, spesifikasi lanjut, serta hadiah eksklusif pembelian dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.
Kehadiran semula Proton ke Singapura ini dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh jenama di peringkat antarabangsa sambil menyokong peralihan ke arah mobiliti hijau.
Sumber – Amanz