Sébastien “Ceb” Debs, pengasas bersama OG dan ikon dalam dunia Dota 2, kini beralih ke dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) apabila diumumkan sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi pasukan Selangor Red Giants OG (SRG.OG).

Perkara ini diumumkan oleh OG menerusi satu video ringkas di media sosial rasmi mereka pada 28 Mei 2025, di mana Ceb turut menyatakan bahawa beliau akan berpindah ke Malaysia dalam masa terdekat untuk bersama barisan pemain SRG.OG.
“Saya tak sabar untuk mulakan peranan sebagai Pengarah Teknikal SRG.OG. Tak sabar nak bekerja bersama pemain dan capai kejayaan bersama,” kata Ceb dalam video tersebut.
Peralihan Dari Dota 2 ke MLBB
Ceb sebelum ini pernah menyertai semula skuad Dota 2 OG sebagai pemain pada Februari 2025, namun selepas prestasi hambar pasukan, beliau menarik diri kurang dua bulan kemudian. Dalam tempoh itu, OG juga mengumumkan pembentukan OG.LATAM, yang kini menjadi skuad utama Dota 2 organisasi itu.
OG terus melakukan transformasi besar tahun ini apabila berkerjasama secara strategik dengan organisasi Malaysia, Selangor Red Giants, untuk menubuhkan SRG.OG pada Mac 2025.
Kejayaan SRG.OG dan Harapan Baharu
SRG.OG muncul sebagai antara kuasa besar dalam arena MLBB apabila mencatatkan pelbagai kejayaan pada tahun 2024, termasuk:
Juara MPL Malaysia Musim 13 & 14
Juara Mid Season Cup (MSC) pertama
Tempat ketiga di Kejohanan Dunia M6
Tahun 2025 pula menyaksikan mereka menamatkan Musim Reguler MPL Malaysia Musim 15 tanpa kalah, dan bakal memulakan aksi playoff di pusingan separuh akhir upper bracket pada 1 Jun 2025.
Dengan prestasi konsisten dan penyertaan Ceb sebagai tenaga pakar baharu, SRG.OG dijangka menjadi pilihan utama untuk mewakili Malaysia dalam MSC tahun ini, yang akan berlangsung sempena Esports World Cup 2025 di Riyadh, Arab Saudi pada bulan Julai.
Langkah Baharu Buat OG dan Ceb
Peranan Ceb dalam MLBB menandakan peralihan dari kerjaya sebagai pemain kepada peranan pengurusan dan strategi, menunjukkan satu bab baharu buat legenda Dota 2 ini. Walaupun butiran lanjut mengenai tugasnya belum diumumkan, penyertaannya dijangka memberi impak besar kepada kekuatan taktikal SRG.OG.
Kehadiran tokoh besar seperti Ceb ke dalam arena MLBB membuktikan betapa pesatnya perkembangan e-sukan mudah alih, terutamanya di Malaysia.
Sumber: Gosu Gamers, Lucifer Productions
Ikuti Kami Di: