CD Projekt RED Sahkan Pembangunan Cyberpunk 2 Kini Bermula

CD Projekt RED Sahkan Pembangunan Cyberpunk 2 Kini Bermula

Cyberpunk 2 kini secara rasminya dalam fasa pra-produksi dengan penyertaan 96 pembangun, menurut pengumuman terkini daripada CD Projekt RED.

Dalam satu sesi pembentangan baru-baru ini, studio tersebut telah menjelaskan bagaimana sumber dan tenaga kerja diagihkan untuk pelbagai projek IP mereka. Ketika ini, 96 pembangun sedang giat menjalankan tugas mereka bagi Cyberpunk 2, manakala lebih daripada 400 pembangun pula memberi tumpuan kepada The Witcher IV. CD Projekt RED turut menegaskan bahawa projek terbaru Cyberpunk ini akan menjadi fokus utama studio selepas menyiapkan beberapa projek berkaitan francais The Witcher.

Mike Pondsmith, pencipta permainan RPG tabletop yang menjadi asas kepada Cyberpunk 2077, turut mendedahkan dalam satu wawancara terkini bahawa Cyberpunk 2 bakal menampilkan sekurang-kurangnya satu lokasi tambahan baharu selain Night City.

Walaupun berita ini mendapat perhatian ramai peminat, nampaknya mereka masih perlu bersabar buat seketika. Berdasarkan penjelasan daripada pihak pengurusan CD Projekt RED, kitaran pembangunan mereka dari fasa pra-produksi hingga ke pelancaran rasmi lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima tahun. Oleh itu, Cyberpunk 2 dijangka tidak akan menemui peminat dalam masa terdekat.

CD Projekt RED Raikan Pencapaian Besar Cyberpunk dan The Witcher

Selain daripada pengumuman projek baharu, CD Projekt RED juga berkongsi pencapaian penting beberapa permainan popular mereka yang sedia ada. Setakat 28 Mei 2025, kandungan tambahan Cyberpunk 2077: Phantom Liberty telah berjaya dijual lebih 10 juta salinan.

Pada masa yang sama, The Witcher III: Wild Hunt mencatatkan satu lagi pencapaian gemilang apabila terjual melebihi 60 juta salinan di seluruh dunia sejak pelancarannya. Kejayaan ini bertepatan dengan ulang tahun ke-10 permainan tersebut, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara RPG paling berjaya dalam sejarah permainan video.

Awal tahun ini, studio tersebut turut mengumumkan kemajuan beberapa projek lain seperti The Witcher IV, pembikinan semula permainan asal The Witcher, serta satu IP baharu dinamakan Project Hadar. Tambahan pula, Cyberpunk 2077: Ultimate Edition dijadualkan untuk dilancarkan pada konsol baharu Nintendo Switch 2, membawa permainan ini ke platform generasi baharu.

Sumber: Gosu Gamers

Ikuti Kami Di:

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *