Kejohanan Global CS2 Bernilai RM4.7 Juta Bakal Dilancarkan!

Kejohanan Global CS2 Bernilai RM4.7 Juta Bakal Dilancarkan!

Ultimate Gaming Championships (UGC) bersama Global Domination Events (GDE) telah mengumumkan pelancaran kejohanan Counter-Strike 2 (CS2) berskala antarabangsa yang dinamakan Global Domination: Invasion, menawarkan jumlah hadiah mencecah RM4.7 juta pada pusingan akhir LAN yang bakal berlangsung Ogos ini.

Kejohanan ini terbuka kepada semua pemain dan pasukan dari seluruh dunia, tanpa mengira tahap kemahiran — daripada pemain amatur sehinggalah ke pasukan profesional.

Bermula 17 Jun, kejohanan ini akan dilangsungkan secara dalam talian mengikut zon wilayah iaitu Amerika, Eropah dan Asia, sebelum pasukan terbaik mara ke Territory Finals pada bulan Julai. Setiap wilayah bakal merebut hadiah RM470,000 di peringkat ini.

Pasukan terbaik dari setiap rantau akan menerima tajaan penuh untuk ke Pusingan Akhir secara langsung (Live Championships) yang akan diadakan di Paycom Center, Oklahoma City dari 29 hingga 31 Ogos 2025. Di sini, mereka akan bertarung merebut hadiah utama bernilai RM4.7 juta.

Menariknya, pusingan akhir kejohanan ini juga dijadualkan berlangsung serentak dengan BLAST Open Fall 2025, dari 27 Ogos hingga 7 September.

Acara selama tiga hari ini bukan sahaja menampilkan aksi e-sukan bertaraf dunia, malah turut dimeriahkan dengan persembahan muzik secara langsung hasil kerjasama dengan Mammoth Live, serta penggunaan peralatan terkini tajaan AMD.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif UGC, Matt Jackson berkata: “Kepada semua pemain CS2 yang yakin dengan kemampuan mereka, inilah peluang untuk membuktikannya di pentas dunia. Dan buat peminat e-sukan, datanglah ke Paycom Center Ogos ini untuk merasai pengalaman luar biasa yang penuh aksi dan hiburan langsung.”

Global Domination: Invasion dijangka menjadi antara kejohanan paling dinanti dalam kalendar e-sukan CS2 tahun ini.

Sumber: Esports Insider

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *