Todak, salah satu nama besar dalam dunia esports Malaysia, kini melangkah lebih jauh dengan menandatangani Ahmad Muhaimin Abd Razak, atau lebih dikenali sebagai Minbappe, untuk memperkuat divisi eFootball mereka.
Langkah ini diambil selepas Minbappe mencipta sejarah tahun lalu dengan menjadi juara sulung FIFAe World Cup kategori mudah alih di Riyadh, Arab Saudi. Dalam kejohanan itu, dia tidak pernah tewas, termasuk mengatasi Anass “AN10_Tienes” Moussa dari Maghribi dengan skor agregat 5-0 dalam perlawanan akhir.
Kejayaan luar biasanya turut membawanya pulang trofi kemenangan dan wang tunai bernilai RM90,000.

Mengulas tentang langkahnya menyertai Todak, Minbappe berkata, “Saya tahu kemenangan ini akan menarik perhatian pasukan besar, tetapi saya memilih Todak kerana ia bukan hanya platform terbaik untuk saya, tetapi juga peluang untuk membantu membangunkan komuniti eFootball di Malaysia.”
Minbappe juga optimis terhadap masa depannya bersama Todak. “Tekanan untuk bermain bagi organisasi besar memang ada, tetapi saya dan rakan sepasukan bertekad untuk menguasai semua kejuaraan dalam negara.”

Todak tidak hanya bergantung pada bakat Minbappe. Divisi eFootball mereka turut diperkuat oleh Shamsheer “Tsubasa” Hussain, Muhamad “Tengkumie” Najmie, dan Farish “Fluzsiuu” Luzman, menjadikan mereka pasukan yang sukar digugat.

Pengumuman ini dibuat tiga hari selepas HomeBois terlebih dahulu melancarkan divisi eFootball mereka. Walaupun begitu, penyertaan Minbappe ke dalam Todak dijangka memberikan saingan sengit kepada pasukan lain dalam Malaysia eFootball League 2025.
Dengan bakat luar biasa seperti Minbappe, Todak kini berada di landasan kukuh untuk mencipta nama dalam kejohanan eFootball tempatan.
Sumber: Todak Gaming Official, New Straits Times
Fuh, mcm Puslifan
Boleh lah lepas ni kalau Puslifan nak masuk Todak yee 😛