Google Quick Share Bakal Benarkan Penghantaran Fail Dari Android Ke iPhone

Google Quick Share Bakal Benarkan Penghantaran Fail Dari Android Ke iPhone

Google Quick Share, ciri yang berfungsi seakan Apple AirDrop, kini semakin hampir untuk menyokong penghantaran fail daripada peranti Android ke iPhone. Fungsi ini sebelum ini hanya terbatas kepada Android dan ChromeOS, namun penemuan terkini dalam aplikasi Google Play Services versi beta menunjukkan tanda awal integrasi merentas platform.

Buat masa ini, ciri penghantaran fail ke iPhone masih belum boleh digunakan, namun kemas kini beta tersebut mengisyaratkan bahawa sokongan penuh bakal hadir tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana Google akan melaksanakan ciri ini pada ekosistem Apple.

Beberapa jenama telefon pintar Android dari China sebelum ini membolehkan penghantaran fail ke iPhone, tetapi memerlukan aplikasi tambahan dipasang terlebih dahulu pada peranti Apple. Situasi yang sama berkemungkinan berlaku pada Quick Share, kecuali Google dan Apple menemui jalan penyelesaian yang lebih terbuka.

Isu ini turut berkait rapat dengan desakan Kesatuan Eropah (EU) yang mahu Apple membuka akses AirDrop supaya ia boleh berfungsi dengan semua peranti, bukan hanya iPhone. Apple setakat ini menolak atas alasan keselamatan, namun EU dilaporkan masih bertegas dan boleh mengenakan denda jika Apple gagal mematuhi arahan tersebut.

Dengan perkembangan ini, pengguna Android dan iPhone mungkin tidak lama lagi dapat berkongsi fail dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung pada aplikasi pihak ketiga.

Sumber: Astroawani,  Amanz

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *