Selepas lebih dua dekad beroperasi, Typepad, salah satu platform blog terawal di dunia, kini mengumumkan bakal menamatkan perkhidmatan mereka secara rasmi pada 30 September 2025.
Dilancarkan pada Oktober 2003, Typepad pernah menjadi pilihan ramai penulis blog untuk berkongsi catatan harian, artikel serta pelbagai kandungan kreatif. Namun, pengumuman minggu ini dibuat secara mengejut, sekaligus menandakan berakhirnya sebuah era dalam dunia penulisan blog.
Sebenarnya, tanda-tanda penutupan sudah mula kelihatan sejak akhir tahun 2020, apabila Typepad menghentikan pendaftaran akaun baharu. Kini, dengan penutupan penuh yang diumumkan, semua artikel dan perkongsian sedia ada akan dipadam sepenuhnya selepas 30 September 2025.
Pengguna sedia ada dinasihatkan supaya membuat salinan pendua (backup) terhadap kandungan mereka sebelum tarikh tersebut bagi mengelakkan kehilangan data secara kekal.
Penutupan Typepad ini sekaligus menambah satu lagi nama besar dalam senarai platform blog klasik yang berundur dari arena digital, selepas sebelumnya Blog.com dan Posterous turut dihentikan.



