Pemain legenda Street Fighter dari Taiwan, Bruce ‘GamerBee’ Hsiang, kini secara rasmi menyertai organisasi esukan terkenal, Flash Wolves, pada usia 46 tahun — membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi dunia esukan.

Flash Wolves, yang turut aktif dalam permainan seperti Arena of Valor, Hearthstone dan League of Legends: Wild Rift, kini melebarkan pengaruh mereka ke dalam arena permainan pertempuran (FGC) dengan kehadiran GamerBee.
Menerusi perkongsian di media sosial, GamerBee menyatakan keyakinannya terhadap sokongan Flash Wolves:
“Dengan profesionalisme dan sumber yang mereka miliki, saya yakin dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan dan pertandingan untuk capai sasaran lebih besar.”
Dari Arked ke Pentas Dunia
Sejak era 80-an dan 90-an, ketika permainan video kurang diterima masyarakat Taiwan, GamerBee sudah menunjukkan minat mendalam dalam permainan pertempuran seperti Street Fighter dan Tekken. Kemuncaknya tiba apabila beliau menyertai Evo 2010 di Las Vegas dan menamatkan kejohanan dengan tempat ke-5 — satu pencapaian luar biasa bagi penampilan pertama di kejohanan antarabangsa.
Sejak itu, nama GamerBee melonjak di Taiwan. Beliau menjadi pemain profesional pertama Taiwan dalam permainan pertempuran selepas menyertai AVerMedia dan dikenali sebagai pemain Adon terbaik dalam Street Fighter IV.
Beliau juga menjelaskan bahawa pembangunan netcode yang baik dalam Street Fighter IV membolehkannya bersaing secara dalam talian dengan pemain hebat seluruh dunia — satu aspek penting dalam perkembangan kariernya.
Legasi GamerBee dalam Dunia Esukan
Antara pencapaian hebat GamerBee termasuk:
Naib juara Evo 2012 dan Grand Final Evo 2015.
Kejayaan di pelbagai kejohanan seperti EGX, Japan Cup dan banyak lagi.
Menang 18 kejohanan antarabangsa sepanjang kerjayanya.
Di luar gelanggang, GamerBee juga aktif sebagai streamer awal di Twitch dan pernah menjadi Partnerships Development Lead Twitch Taiwan pada 2015. Beliau memainkan peranan penting dalam memperkenalkan streamer Taiwan dan mempromosikan esukan Street Fighter ke peringkat global.
Kini, selepas berdekad dalam dunia esukan, GamerBee masih bersaing secara konsisten — Top 100 di Evo 2024 dan kerap berada dalam kelompok Top 20 kejohanan dalam talian Asia.
Langkah bersama Flash Wolves ini bukan hanya mengukuhkan karier GamerBee, tetapi turut membantu memperkukuh dan memperluas komuniti FGC di Taiwan dan rantau Asia.
Sumber: Esports Insider