Filem biografi e-sukan pertama Malaysia, Soloz: Game of Life, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 23 Januari ini. Filem ini mengisahkan perjalanan hidup ikon e-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, dan diarahkan oleh pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof.
Diterbitkan oleh Key Billions Sdn Bhd, filem ini memaparkan kisah penuh inspirasi yang bukan sahaja menghiburkan tetapi diharap dapat menyuntik semangat kepada generasi muda untuk mengejar cita-cita mereka, walau apa pun rintangan yang dihadapi.

Menurut kenyataan penerbit, filem ini mengetengahkan elemen motivasi, persahabatan, dan semangat kesukanan yang menjadi teras dalam kejayaan Soloz dan rakan sepasukannya. Kisah ini turut merakamkan persaingan sengit antara pasukan The Boss, dengan Vengeance dari Singapura.
Hun Haqeem diberikan tanggungjawab besar memegang watak Soloz, dengan sokongan pelakon lain seperti Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, dan Syafie Naswip.

Pengarah Syafiq Yusof berkata, kerjasama dengan pencipta permainan video Moonton memastikan elemen permainan e-sukan dalam filem ini mengikuti garis panduan teknikal yang tepat. Filem ini juga memanfaatkan imej janaan komputer (CGI) untuk memberikan pengalaman visual yang mengagumkan.
“Filem e-sukan pertama buatan Malaysia ini diharapkan dapat menginspirasi dan membuka mata masyarakat terhadap potensi besar dalam industri e-sukan serta kepentingan sokongan keluarga terhadap minat dan cita-cita anak-anak dalam bidang yang mungkin dianggap baharu atau luar biasa,” katanya.
Soloz: Game of Life dijangka mencipta fenomena dalam industri perfileman tempatan, sekaligus mengangkat dunia e-sukan ke arus perdana.
Sumber: BERNAMA, Astro Awani