BYD sekali lagi mencetus kejutan dalam industri automotif, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik, dengan memperkenalkan teknologi baharu yang membolehkan kenderaan elektrik dicas dalam tempoh lima minit untuk mencapai jarak perjalanan sehingga 400 kilometer.

Teknologi ini memberikan kelebihan kepada kenderaan elektrik dengan jarak perjalanan yang lebih jauh serta masa pengecasan yang sangat pantas, hampir menyamai pengalaman mengisi petrol.
Kejayaan ini direalisasikan melalui teknologi yang dikenali sebagai ‘Super e-Platform’, yang menyokong pengecasan pada kadar setinggi 1,000 kilowatt.

Presiden BYD turut menyatakan bahawa inovasi ini bertujuan menjadikan proses pengecasan kenderaan elektrik sepantas mengisi bahan api konvensional.
BYD merancang untuk memperkenalkan teknologi ‘Super e-Platform’ pada model sedan Han L dan SUV Tang L, yang disasarkan khas untuk pasaran China.
Selari dengan perkembangan ini, BYD juga merancang untuk membina lebih daripada 4,000 stesen pengecasan ultra-pantas di seluruh China bagi menyokong teknologi baharu ini.
Pengenalan teknologi ini dijangka dapat menarik lebih ramai pengguna yang sebelum ini kurang selesa dengan tempoh pengecasan yang lama, sekaligus mempercepatkan peralihan daripada kenderaan petrol kepada kenderaan elektrik di pasaran.
Sumber: Amanz, Astro Awani