TenZ Tamatkan Perjalanan Bersama Sentinels Selepas 4 Tahun

TenZ Tamatkan Perjalanan Bersama Sentinels Selepas 4 Tahun

Pemain profesional VALORANT, Tyson ‘TenZ’ Ngo, mengumumkan pengunduran rasmi beliau dari organisasi Sentinels selepas empat tahun bersama pasukan tersebut. Pengumuman itu dibuat melalui akaun X miliknya, di mana TenZ menyatakan: “Ia satu perjalanan yang luar biasa dan saya takkan tukarkannya dengan apa-apa.”

TenZ, antara wajah terawal yang melonjak dalam dunia VALORANT sejak berpindah dari Counter-Strike pada tahun 2020, mula mencipta nama bersama Sentinels apabila membantu pasukan itu menjuarai kejohanan VALORANT Masters Reykjavik pada 2021 ketika berstatus pemain pinjaman. Kemenangan itu melonjakkan popularitinya dalam komuniti global.

Beliau turut mencatat satu lagi pencapaian hebat apabila Sentinels memenangi VALORANT Masters Madrid pada 2024, sekali lagi memperkukuh statusnya sebagai antara pemain FPS terbaik.

Namun, penghujung tahun 2024 menyaksikan TenZ mengambil keputusan untuk bersara dari persaingan kompetitif dan menukar haluan sebagai pencipta kandungan sepenuh masa di bawah jenama Sentinels. Ketika itu, beliau menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada minat dan projek peribadi di luar dunia permainan. Kini, TenZ memiliki lebih 6.5 juta pengikut di Twitch dan YouTube.

Dalam kenyataan terbarunya, TenZ menyatakan rasa teruja untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupannya, walaupun belum berkongsi secara terperinci hala tuju seterusnya. Komuniti VALORANT menyambut berita ini dengan rasa hiba, namun tidak sabar untuk melihat langkah seterusnya daripada ikon FPS ini.

Setakat ini, Sentinels belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun memandangkan barisan pemain kompetitif mereka sudah lengkap, mungkin organisasi itu akan membawa masuk pencipta kandungan baru bagi menggantikan tempat TenZ.

Sumber: Esports Insider

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *