Google akhirnya memperkenalkan siri telefon pintar Pixel 10 secara rasmi di Malaysia, dengan tiga model ditawarkan iaitu Pixel 10, Pixel 10 Pro, dan Pixel 10 Pro XL. Kehadiran siri ini menandakan komitmen Google untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran telefon pintar premium, sambil menampilkan inovasi berasaskan AI yang semakin relevan dengan pengguna masa kini.

Kesemua model Pixel 10 dikuasakan oleh cip Google Tensor G5 bersama integrasi Gemini Nano. Gabungan ini membolehkan pemprosesan berasaskan kecerdasan buatan berjalan lebih lancar, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna dalam fotografi, rakaman video dan tugasan harian. Google turut menekankan bahawa siri terbaru ini memberi fokus pada kuasa AI pintar sebagai teras utama.
Bagi model asas Pixel 10, ia hadir dengan skrin 6.3-inci berketajaman tinggi dan kecerahan sehingga 3000-nits. Telefon ini turut dibekalkan dengan RAM 12GB, bateri berkapasiti 4970mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 55% dalam masa hanya 30 minit. Bahagian kamera dilengkapi sistem tiga kamera di belakang iaitu 48MP ultra-lebar, telefoto 5x, dan ultra-lebar tambahan, manakala kamera hadapan menyertakan lensa 10.5MP.
Untuk model lebih premium, Pixel 10 Pro mengekalkan saiz skrin 6.3-inci dengan teknologi OLED dan kecerahan 3300-nits, tetapi hadir dengan RAM 16GB untuk prestasi lebih pantas. Sementara itu, Pixel 10 Pro XL menawarkan paparan lebih besar iaitu 6.8-inci dengan spesifikasi hampir sama seperti versi Pro. Kedua-dua model Pro menampilkan sistem tiga kamera dengan sensor utama 50MP lebar, telefoto 5x dan ultra-lebar, serta kamera hadapan 42MP. Lebih menarik, siri Pro turut menyokong rakaman video 8K, serta ciri tambahan fotografi seperti Pro Rez Zoom dan High Res Portraits bagi hasil gambar lebih profesional.
Dari segi harga di Malaysia, Pixel 10 dijual bermula RM3,999, manakala Pixel 10 Pro bermula RM4,999. Model paling berkuasa, Pixel 10 Pro XL, pula ditawarkan pada harga RM5,999. Kesemua model boleh dipra-tempah bermula hari ini dan akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 28 Ogos 2025. Sebagai nilai tambah, pembeli Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL turut menerima akses percuma Google AI Pro selama setahun.
Pelancaran siri Pixel 10 ini jelas menunjukkan usaha Google untuk menawarkan telefon pintar dengan integrasi AI mendalam kepada pengguna Malaysia, sekaligus memberi saingan sengit kepada jenama lain dalam segmen premium.
Sumber: Amanz