23 September 2025 – Pengeluar cip terkemuka, Nvidia, merancang untuk melabur sehingga AS$100 bilion (RM420.7 bilion) dalam syarikat pemula kecerdasan buatan (AI), OpenAI, menerusi satu perjanjian strategik baharu. Pelaburan ini hadir ketika persaingan semakin sengit antara gergasi teknologi untuk mendapatkan akses kepada tenaga dan cip yang diperlukan bagi pertumbuhan AI.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, kedua-dua syarikat menandatangani surat hasrat (letter of intent) bagi kerjasama penting untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10 gigawatt cip Nvidia bagi menyokong infrastruktur AI OpenAI. Perincian kerjasama dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu, dengan fasa pertama dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2026.
“Segala-galanya bermula dengan kuasa pengkomputeran. Infrastruktur ini akan menjadi asas kepada ekonomi masa depan, dan kerjasama dengan Nvidia akan membantu kami mencipta penemuan AI baharu serta memperkasakan manusia dan perniagaan pada skala besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman.
Saham syarikat yang turut bekerjasama dalam projek pusat data AI Stargate bernilai AS$500 bilion — termasuk Oracle, SoftBank dan Microsoft — dilaporkan naik hampir 5% selepas pengumuman ini. Pelaburan Nvidia ini turut dibuat hanya beberapa hari selepas syarikat itu menyalurkan AS$5 bilion kepada pengeluar cip Intel yang sedang bergelut.
Sumber: THE EDGE



