Mobile Legends: Bang Bang Professional League Indonesia (MPL ID) kini mencipta sejarah tersendiri apabila menjalin kolaborasi besar bersama NBA, antara jenama sukan paling terkenal di dunia.

Menurut Martinus Manurung, Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan eSukan MOONTON Games Indonesia, kerjasama ini telah dirancang sejak hampir dua tahun lalu. Beliau menyatakan bahawa MPL ID banyak belajar daripada struktur dan pendekatan sukan tradisional, khususnya NBA, dalam membina liga mereka.
“Sukan tradisional bagi kami ibarat abang dan kakak yang menjadi rujukan. Kami banyak terinspirasi daripada model francais NBA – dari segi struktur liga sehinggalah kepada tradisi seperti cincin kejuaraan,” kata Martinus dalam sidang media.
Kolaborasi ini secara rasmi bermula pada Minggu Ke-5 MPL ID Musim Ke-15 dan melibatkan pelbagai aktiviti bersama, pemberian barangan eksklusif NBA, serta integrasi visual dan audio NBA ke dalam siaran langsung MPL, termasuk tema lagu dan bunyi buzzer khas.
Mengapa NBA Pilih MPL ID?
Mobile Legends: Bang Bang merupakan fenomena besar di Indonesia, dengan jumlah tontonan yang mencecah lebih dua juta penonton untuk liga tempatan. Hal ini menjadikan MPL platform yang sangat sesuai bagi NBA untuk menarik minat generasi muda di rantau ini.

“Skala pengaruh kami dan reputasi sebagai liga profesional sejak 2018 menarik minat banyak jenama besar, termasuk NBA,” tambah Martinus.
Bekas pemain NBA, Jordan Adams, yang kini bermain bersama Dewa United Banten dalam Liga Bola Keranjang Indonesia (IBL), turut mengakui betapa besar pengaruh e-sukan di Indonesia.
“Saya lihat sendiri komuniti e-sukan sangat aktif di sini, dan ramai atlet Dewa juga terlibat dalam e-sukan. Mereka sangat serius, sama seperti kami dalam sukan tradisional,” katanya.
Jordan turut menyatakan bahawa kolaborasi antara sukan dan e-sukan bakal menjadi norma, malah percaya ianya memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Walaupun NBA sudah mempunyai ekosistem e-sukan tersendiri bersama pembangun permainan 2K, kolaborasi dengan MPL ID dilihat sebagai langkah paling signifikan NBA dalam dunia e-sukan setakat ini.
Memandangkan pengaruh Mobile Legends sangat kuat di Asia Tenggara – termasuk Malaysia, Filipina dan lain-lain – tidak mustahil lebih banyak liga sukan tradisional akan mengikuti jejak NBA.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan liga-liga lain seperti English Premier League, Formula 1 atau MotoGP,” ujar Martinus lagi.
Tahun 2025 menjadi tahun yang luar biasa buat e-sukan Mobile Legends dari segi kerjasama komersial. Selepas kolaborasi bersama Naruto di MPL Malaysia, kini giliran NBA menyertai MPL ID – membuktikan dominasi Mobile Legends dalam ekosistem hiburan digital serantau.
Sumber: Esports Insider