Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menyambut baik pengiktirafan e-sukan sebagai antara sukan teras berprestasi tinggi oleh kerajaan, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Langkah ini selari dengan Pelan Strategik Pembangunan E-sukan KBS 2020-2025, yang bertujuan memperkukuh ekosistem sukan elektronik tempatan serta mengangkat pencapaian atlet e-sukan Malaysia ke peringkat dunia.
MESF dalam kenyataan rasmi turut mengucapkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim, Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas kepercayaan dan sokongan terhadap pembangunan industri ini.
Selain itu, MESF menyokong penuh inisiatif Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pendidikan, yang membuka peluang kepada e-sukan dijadikan medium pendidikan sukan berimpak tinggi di peringkat sekolah.
Sebagai usaha akar umbi, MESF bersama Esports Integrated (ESI) telah melancarkan MyLeague — platform rasmi pembangunan bakat e-sukan negara yang merangkumi pelbagai judul popular seperti:
MyML (Mobile Legends)
MyEL (eFootball)
MyRL (eRacing)
MyTL (Tekken 8)
MyFL (Free Fire)
MyPL (PUBG)
MyCL (Counter Strike)
MyHL (Honor of Kings)
MyLeague berfungsi sebagai laluan rasmi untuk melahirkan atlet profesional yang bersedia bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. MESF menegaskan komitmen mereka dalam menyokong dasar kerajaan untuk membangunkan industri e-sukan yang progresif, mampan dan inklusif.
E-sukan kini berdiri sebaris dengan sukan-sukan utama lain seperti badminton, renang, memanah, karate, olahraga, skuasy, dan banyak lagi yang turut diiktiraf sebagai sukan teras negara.
Sumber: BERNAMA, Harian Metro