Langkah Tegas Perancis: Had Akses Media Sosial kepada Golongan Muda

Langkah Tegas Perancis: Had Akses Media Sosial kepada Golongan Muda

Penggunaan media sosial dalam kalangan remaja bawah umur terus menjadi perdebatan hangat. Ada pihak berpendapat ia memberi kesan negatif kepada perkembangan mental dan tingkah laku, manakala segelintir pula menganggap kesannya tidak begitu ketara.

Beberapa negara telah bertindak lebih awal dalam isu ini. Sebagai contoh, China mengehadkan akses internet dan permainan video kepada golongan muda, manakala Australia telah meluluskan undang-undang yang melarang remaja bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial secara bebas.

Kini, Perancis turut merancang langkah tegas untuk menyekat akses media sosial kepada individu berusia di bawah 15 tahun dijangka akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat. Langkah ini menyusul selepas kejadian menyayat hati membabitkan pelajar berusia 14 tahun yang menikam mati seorang kakitangan sekolah ketika pemeriksaan beg di pintu masuk sekolah.

Presiden Emmanuel Macron menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengambil tindakan bersama dalam tempoh dua bulan bagi menangani isu ini. Jika tiada tindakan diambil, Perancis akan bertindak secara unilateral bagi melindungi golongan muda daripada pengaruh media sosial yang membimbangkan.

Walaupun masih belum jelas sama ada insiden tragis itu berkait secara langsung dengan media sosial, ramai pihak melihat platform ini kini memberi kesan yang serupa seperti bahaya rokok, vape, bahan kimia plumbum dalam petrol, dan CFC yang dahulunya dianggap tidak berbahaya tetapi terbukti memberi kesan jangka panjang.

Negara-negara seperti Indonesia dan Australia telah mula merangka peraturan lebih ketat bagi mengawal akses media sosial kepada kanak-kanak dan remaja. Sebaliknya, Malaysia masih belum memperkenalkan dasar khusus dalam hal ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa sebarang keputusan mengenai sekatan media sosial kepada pengguna bawah umur memerlukan kajian mendalam terhadap kesan psikologi serta tahap kematangan antara kanak-kanak dan remaja. Buat masa ini, kerajaan Malaysia tidak bercadang untuk mengehadkan akses media sosial kepada golongan tersebut.

 

Sumber: AstroAwani, EuroNews

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *