Walaupun dunia esukan sering dipenuhi dengan persaingan sengit dan tekanan tinggi, beberapa organisasi memilih untuk menceriakan suasana bersempena Hari April Fools 2025 dengan pelbagai pengumuman palsu dan jenaka kreatif!
Berikut adalah antara jenaka paling mencuit hati yang telah dikongsikan oleh jenama dan organisasi terkemuka dalam komuniti esukan tahun ini. Untuk pengetahuan, semua pengumuman ini hanyalah gurauan dan tidak benar sama sekali.
Razer Umum Headset ‘Skibidi’ AI Pertama di Dunia!

Razer, syarikat teknologi permainan terkenal, membuat kejutan dengan memperkenalkan produk terbarunya — Razer Skibidi!
Menurut hantaran di platform X, headset ini dikatakan mampu menterjemah ‘bahasa brainrot’ Gen Z secara live dengan bantuan kecerdasan buatan.
Dikemukakan sebagai penyelesai masalah komunikasi antara generasi, headset ini juga membolehkan anda memahami istilah seperti “rizz” dan “no cap” ketika bermain bersama rakan sepasukan!
Trailer ‘Low Budget’ dari LCK Cetus Gelak Tawa

Liga Korea (LCK) yang bakal membuka tirai musim baru, melancarkan satu trailer pembukaan yang kelihatan ‘cacat’ secara sengaja.
Video tersebut menampilkan lakaran ringkas, muzik harmonika yang menyakitkan telinga, dan animasi yang kaku — semuanya sebagai sindiran jenaka terhadap pasukan-pasukan yang bertanding.
Walaupun trailer ini jauh dari profesional, ia berjaya mencuit hati komuniti dan mengurangkan ketegangan menjelang kejohanan League of Legends musim ini.
ESL Umum Pembuangan Peta Mirage — Tapi Sebenarnya Prank!

ESL menggemparkan komuniti Counter-Strike apabila mengumumkan bahawa peta popular Mirage akan dikeluarkan daripada peta kejohanan selepas 12 tahun digunakan.
Kononnya, ia akan digantikan dengan peta Cache bermula dari IEM Melbourne 2025. Namun, sesiapa yang klik pautan lanjut akan hanya melihat gambar kucing dengan kapsyen: “Selamat Hari April Fools!”
NLC ‘Beli’ LTA North?

NLC, liga League of Legends yang berpangkalan di Denmark, berkongsi satu ‘pengumuman besar’ kononnya mereka telah membeli seluruh rantau LTA North.
Dalam kenyataan di X, mereka menyindir:
“Kami dah tak nak import pemain dari sana. Sekarang kami ambil terus satu rantau. Semuanya untuk dijual.”
Mereka juga menambah bahawa Amerika Utara ‘kekurangan bakat sebenar dalam League of Legends’, satu kenyataan sinis yang semakin popular, terutamanya selepas prestasi kurang memberangsangkan oleh Team Liquid di kejohanan First Stand 2025.
Brawl Stars Perkenal Kad Perdagangan Esukan

Akaun rasmi Brawl Stars Esports di X mengumumkan pelancaran koleksi kad perdagangan yang menampilkan pemain profesional seperti Tensai dari Crazy Raccoon dan Symantec dari HMBLE.
Ramai peminat teruja dengan idea ini, namun ia hanyalah satu lagi jenaka kreatif sempena 1 April oleh pembangun Brawl Stars, Supercell.
Lain-Lain Gurauan Menarik!
-
iRacing memperkenalkan kereta mainan Little Tikes Cozy Coupe dalam permainan, lengkap dengan ‘lantai boleh tanggal’ dan ‘butang enjin bergerak’.
-
Marvel Rivals memperkenalkan emote baharu “Symbiote Boogie” yang menampilkan Venom menari twerk, boleh digunakan dalam permainan dari 31 Mac hingga 3 April 2025.
April Fools’ Day bukan sekadar hari untuk bergurau, tetapi juga ruang bagi organisasi menampilkan kreativiti mereka dan mengukuhkan hubungan dengan komuniti. Tahun ini sekali lagi membuktikan bahawa dunia esukan pun tahu berseronok tau!
Sumber: Esports Insider