Juara Dunia Pertama League of Legends, Shushei Meninggal Dunia pada Usia 36 Tahun

Juara Dunia Pertama League of Legends, Shushei Meninggal Dunia pada Usia 36 Tahun

Dunia e-sukan dikejutkan dengan pemergian Maciej ‘Shushei’ Ratuszniak, juara dunia pertama League of Legends, yang meninggal dunia pada 28 April 2025 selepas berjuang melawan kanser. Beliau berusia 36 tahun.

Shushei dikenali ramai sebagai pemain Poland yang mewakili pasukan Fnatic dan menjadi Most Valuable Player (MVP) semasa kejohanan dunia pertama League of Legends (LoL) pada tahun 2011.

Sebagai penghargaan atas kejayaannya di kejohanan tersebut, beliau memilih juara Gragas untuk menerima skin khas “Fnatic Gragas”, yang sehingga kini masih boleh dibeli dalam permainan walaupun sudah 14 tahun berlalu sejak kejayaan itu.

Selain kejayaan di pentas dunia, Shushei juga pernah menjuarai Intel Extreme Masters (IEM) Musim Ke-6 di New York bersama Fnatic, serta IEM Hannover 2011 bersama pasukan myRevenge.

Fnatic dalam kenyataan rasmi di media sosial menyatakan rasa sedih mereka:

“Kami kehilangan seorang legenda. Shushei adalah sebahagian daripada pasukan bersejarah Fnatic yang memenangi Kejohanan Dunia LoL pertama. Dia membuka jalan kepada ramai peminat kami hari ini. Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya.”

Personaliti terkenal dalam dunia LoL turut memberi penghormatan, termasuk pengacara LEC, Eefje ‘Sjokz’ Depoortere:

“Berehatlah dengan tenang, Shushei. Salah seorang legenda awal dalam permainan kita. Pergi terlalu awal.”

Legasi Shushei dalam Dunia E-Sukan

Shushei dianggap perintis dalam dunia e-sukan di Poland dan dikenali dengan gaya permainan kreatif serta personalitinya yang menceriakan. Beliau berjaya membina komuniti peminat yang kuat ketika industri e-sukan masih di peringkat awal.

Namanya akan terus dikenang sebagai ikon Fnatic dan tokoh penting dalam sejarah awal League of Legends.

Pihak Laman Teknologi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan beliau.

Sumber: Esports Insider

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *