
Microsoft baru-baru ini mengumumkan bahawa ciri penyimpanan kata laluan dalam aplikasi Microsoft Authenticator akan ditamatkan sepenuhnya menjelang Ogos 2025. Aplikasi ini sebelum ini memudahkan pengguna menyimpan maklumat sensitif seperti kata laluan dan butiran kad kredit, serta menggunakan fungsi autofill untuk mengisi borang secara automatik di peranti mereka.
Langkah ini dilihat memberi kesan kepada mereka yang menggunakan Authenticator sebagai password manager, khususnya jika mereka bergantung kepada kata laluan yang kompleks dan sukar diingati. Namun sejak Jun 2025, beberapa fungsi utama seperti import data sensitif telahpun dihentikan. Malah, bermula bulan ini, ciri autofill turut dimatikan secara rasmi.
Microsoft menyarankan pengguna untuk beralih kepada pilihan alternatif seperti Google Password Manager, 1Password, atau Proton Pass. Bagi pengguna yang mahukan pengurusan kata laluan yang ringkas, pelayar web Microsoft Edge masih menyokong ciri autofill, menjadikannya pilihan yang lebih mudah tanpa perlu memasang aplikasi tambahan.
Pengguna dinasihatkan untuk menyandarkan dan memindahkan semua data simpanan sebelum Ogos 2025 bagi mengelakkan kehilangan maklumat penting apabila pemadaman data dilaksanakan sepenuhnya.
Sumber: Amanz