Inisiatif penggunaan dron untuk penghantaran ubat telahpun dimulakan di Malaysia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Sabah, menandakan langkah awal dalam bidang ini. Namun, pada musim Haji tahun ini, Arab Saudi tampil lebih ke hadapan dengan melaksanakan sistem penghantaran ubat-ubatan dan peralatan perubatan menggunakan dron secara besar-besaran ke pusat rawatan kesihatan utama.

Kaedah penghantaran konvensional yang sebelum ini mengambil masa sekitar satu jam kini dipendekkan kepada hanya enam minit dengan bantuan dron. Ini membolehkan pasukan perubatan memberi rawatan segera kepada jemaah yang memerlukan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi yang sesak dengan kehadiran jutaan jemaah.
Sebanyak lebih daripada 2,000 jenis ubat dan kelengkapan kesihatan boleh diedarkan menerusi rangkaian 136 lokasi beroperasi. Dron akan membawa muatan ke enam pusat perubatan utama yang terletak di Mina, Muzdalifah, dan Gunung Arafah, kawasan utama yang akan menampung kehadiran sekitar 1.25 juta jemaah dari 4 hingga 9 Jun. Sistem ini diuruskan oleh NUPCO, syarikat pembekal logistik dan perubatan milik kerajaan Arab Saudi.
Dalam usaha memastikan ibadah Haji dijalankan dengan lebih selamat dan efisien, Arab Saudi turut melaksanakan pelbagai teknologi canggih lain. Misalnya, selepas tragedi Terowong Muassim tiga dekad lalu, sistem simulasi pergerakan digunakan untuk merancang dan mengawal aliran jemaah ke lokasi-lokasi kritikal seperti kawasan melontar Jamrah.
Bagi mengekang kehadiran jemaah tanpa kebenaran, aplikasi pintar digunakan untuk memastikan hanya individu yang memiliki visa Haji yang sah dibenarkan meneruskan ibadah. Setakat ini, lebih 200,000 individu telah disekat melalui sistem ini, langkah yang diambil susulan lebih 1,300 kematian dilaporkan tahun lalu, kebanyakannya berpunca daripada cuaca ekstrem dan kehadiran tanpa kebenaran.
Beberapa tahun kebelakangan ini juga menyaksikan pengenalan kenderaan elektrik di sekitar Masjidil Haram untuk membantu pergerakan jemaah ketika tawaf, menggantikan kerusi roda atau kaedah tradisional di mana jemaah dipikul oleh orang lain.
Sumber: Amanz