YouTube Premium kini dilaporkan mula mengambil tindakan terhadap pengguna Family Plan yang tidak tinggal di alamat rumah yang sama. Perubahan ini mengejutkan ramai pengguna kerana sebelum ini YouTube tidak begitu ketat dalam memantau perkara tersebut.
Seorang pengguna di Reddit berkongsi emel yang diterima daripada YouTube, memaklumkan bahawa beliau dikesan tidak tinggal sebumbung dengan pengurus akaun Family Plan. Akibatnya, akses YouTube Premium beliau digantung selama 14 hari.
Langkah ini dilihat sebagai strategi YouTube mengikut jejak langkah Netflix dan Disney+, yang sebelum ini telah menghadkan perkongsian akaun hanya untuk pengguna di rumah yang sama. Netflix malah mengenakan caj tambahan bagi pengguna dengan alamat berbeza.
Setakat ini, isu penggantungan akaun Family Plan YouTube Premium hanya dilaporkan oleh seorang pengguna. Namun, jika polisi ini diperluaskan secara global, ia dijangka akan menimbulkan reaksi besar daripada pelanggan – sama seperti yang berlaku terhadap Netflix dan Disney+ sebelum ini.
Sumber: Amanz, Android Police



