Universiti Oxford menjadi institusi pertama di United Kingdom yang menawarkan akses kepada versi pendidikan alat kecerdasan buatan, ChatGPT Edu, kepada semua pelajar dan kakitangannya. Langkah ini dibuat selepas percubaan setahun yang berjaya dijalankan di universiti tersebut.

ChatGPT Edu, yang dibangunkan khas oleh OpenAI untuk kegunaan pendidikan, memberi penekanan kepada privasi dan keselamatan data. Semua maklumat disimpan di peringkat institusi bagi menjamin kerahsiaan pengguna. Pelancaran ini adalah sebahagian daripada kerjasama lima tahun antara Oxford dan OpenAI yang diumumkan pada Mac lalu.
Profesor Anne Trefethen, Naib Canselor (Pro-Vice-Chancellor) Digital Oxford, menyifatkan langkah ini sebagai “satu perkembangan menarik” dalam transformasi digital universiti. Beliau menekankan bahawa teknologi ini mempunyai potensi besar untuk mempercepatkan penyelidikan, inovasi serta membantu menyelesaikan cabaran global.
Melalui ChatGPT Edu, pelajar boleh memperkayakan pembelajaran mereka secara peribadi dan kreatif, manakala staf akademik pula dapat memanfaatkannya untuk mempertingkatkan pengajaran dan kajian. Oxford juga akan menyediakan latihan menggunakan ChatGPT Edu dan alat AI generatif lain, dengan penekanan kepada etika, pemikiran kritis dan penggunaan yang bertanggungjawab.
Jayna Devani, Ketua Pendidikan Antarabangsa OpenAI, berkata usaha Oxford ini menjadi penanda aras baharu bagaimana AI boleh memperkayakan pendidikan tinggi. Menurutnya, dengan akses meluas ini, pelajar dan staf akan mendapat kemahiran, alat dan latihan AI untuk berjaya pada era teknologi ini.
Sumber: BBC