Shunsaku Tamiya, pengerusi kepada syarikat tersohor Jepun, Tamiya Inc., telah menghembuskan nafas terakhir pada 18 Julai 2025, namun berita pemergiannya hanya diumumkan secara rasmi oleh keluarga sehari selepasnya. Upacara pengebumian telah dijalankan secara tertutup, dan punca kematian tidak didedahkan, menghormati privasi keluarga beliau.

Warisan Daripada Keluarga: Dari Kilang Kayu ke Empayar Model Dunia
Shunsaku merupakan anak kepada pengasas Tamiya, Yoshio Tamiya, dan menyertai syarikat keluarga tersebut pada tahun 1958. Tamiya yang pada asalnya dikenali sebagai Tamiya Shoji & Co. ditubuhkan pada 1946 sebagai kilang papan pembekal kayu binaan. Namun, selepas Perang Dunia Kedua, syarikat mula menghasilkan model mainan kayu untuk kanak-kanak Jepun.
Menjelang penghujung tahun 1950-an, permintaan untuk model kayu mula merosot. Maka, pada tahun 1959, Tamiya beralih kepada penghasilan model plastik, bermula dengan model kapal perang Yamato. Ketika itulah logo dua bintang ikonik Tamiya dicipta oleh adik Shunsaku, Masao Tamiya, yang masih digunakan hingga ke hari ini. Bintang merah melambangkan kreativiti dan semangat, manakala bintang biru membawa maksud kejujuran dan keremajaan.
Dedikasi Luar Biasa Dalam Rekaan Model Berkualiti Tinggi
Shunsaku terkenal dengan komitmen luar biasa terhadap ketelitian dan keaslian dalam reka bentuk model. Ketika menghasilkan model kereta kebal pertama, beliau sendiri melawat muzium untuk melihat perincian sebenar kerana kamera tidak dibenarkan pada waktu itu. Beliau akan segera melakar secara manual setiap butiran selepas keluar dari muzium, menjadikan model Tamiya terkenal dengan kehalusan dan ketepatan yang sukar ditandingi, bahkan oleh jenama seperti Hasegawa atau Airfix.
Bapa Kepada Hobi “Kereta Tamiya” di Seluruh Dunia
Antara legasi terbesar Shunsaku adalah dalam memasyhurkan kereta mini pacuan empat roda (4WD) dan kereta kawalan jauh (RC) yang menjadi fenomena global. Di Malaysia, ramai mengenali model ini dengan panggilan “kereta Tamiya”, satu istilah yang kekal walaupun ada pesaing seperti Auldey atau Takara.
Bagi mereka yang membesar pada era 80-an dan 90-an, kereta Tamiya merupakan EV pertama yang dimiliki, dan hujung minggu dihabiskan dengan berlumba di trek bersama rakan-rakan. Permainan ini bukan sekadar hiburan, malah memperkenalkan ramai anak muda kepada dunia kejuruteraan, elektronik, dan reka bentuk mekanikal.
Inspirasi Sepanjang Hayat Buat Generasi Celik Teknologi
Bagi sesetengah individu, minat terhadap model Tamiya menjadikan mereka lebih dekat dengan bidang teknikal. Dari membina pesawat plastik dengan gabungan litar LED di sekolah hingga mengkaji jenis tayar, motor dan sistem imbangan berat, pengalaman ini menyemai pemikiran analitik dan kreativiti sejak kecil.
Terima kasih Shunsaku Tamiya, atas legasi yang mencorakkan dunia hobi, teknologi dan kejuruteraan bagi generasi kini dan akan datang. Anda bukan sekadar pengusaha mainan, tetapi perintis inspirasi kepada ribuan pembina model di seluruh dunia.
Sumber: Amanz