TikTok di Amerika Syarikat bakal dikendalikan oleh sebuah konsortium pelabur yang terdiri daripada Oracle, Silver Lake dan Andreessen Horowitz. Perjanjian ini sedang dimuktamadkan antara Washington dan Beijing, menurut laporan Wall Street Journal.
Sebuah syarikat baharu akan diwujudkan untuk menguruskan TikTok, dengan pelabur Amerika memiliki kira-kira 80% saham manakala bakinya kekal milik pemegang saham China. Lembaga pengarah juga akan dikuasai oleh wakil AS, termasuk seorang ahli yang dilantik kerajaan.
Bagi pengguna sedia ada, mereka akan diminta beralih ke aplikasi baharu yang kini sedang dibangunkan dan diuji oleh TikTok. Sebelum ini, Reuters pernah melaporkan rancangan TikTok untuk melancarkan aplikasi berasingan khas bagi pasaran AS, yang akan beroperasi menggunakan algoritma dan sistem data tersendiri.
Menurut WSJ, Oracle akan menguruskan data pengguna di fasilitinya di Texas. Namun, perincian akhir perjanjian masih dibincangkan, dan syaratnya berkemungkinan berubah.
Setakat ini, TikTok, Oracle, Silver Lake dan Andreessen Horowitz (a16z) belum mengulas laporan tersebut.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menangguhkan pelaksanaan undang-undang 2024 yang mewajibkan penjualan pegangan TikTok oleh China sehingga 16 Disember. Beliau juga mengumumkan satu persetujuan bersama dengan China bagi memastikan TikTok kekal beroperasi di Amerika.
Sumber: Reuters



