
Meta Platforms, syarikat induk kepada Facebook, Instagram dan WhatsApp, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengintegrasikan model kecerdasan buatan (AI) daripada Google dan OpenAI ke dalam aplikasi mereka. Menurut laporan The Information yang dipetik Reuters, perkara ini dibincangkan oleh pasukan Meta Superintelligence Labs sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh fungsi chatbot Meta AI serta ciri AI lain dalam ekosistem aplikasi Meta.
Model Google Gemini dilihat sebagai salah satu pilihan utama untuk meningkatkan prestasi perbualan dan keupayaan pemahaman bahasa semula jadi, manakala model daripada OpenAI dijangka memberi nilai tambah dalam pelbagai aplikasi harian. Langkah ini bagaimanapun dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek, sementara Meta terus membangunkan model AI generasi seterusnya mereka sendiri, iaitu Llama 5, yang dijangka menjadi pesaing langsung kepada model AI terkemuka di pasaran.
Meta turut mengamalkan pendekatan “all-of-the-above strategy”, iaitu menggabungkan usaha membangunkan model dalaman, bekerjasama dengan syarikat teknologi lain, serta meneruskan sokongan terhadap teknologi sumber terbuka. Strategi ini membolehkan Meta mengekalkan fleksibiliti dalam menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam industri AI. Difahamkan, Meta juga telah menggunakan model daripada Anthropic untuk membantu dalam tugas dalaman seperti pengekodan.
Pendekatan ini menunjukkan Meta mahu mempercepatkan inovasi AI dalam aplikasinya, sekali gus meningkatkan daya saing berdepan pesaing utama seperti Microsoft, Google, dan OpenAI sendiri. Integrasi pelbagai model AI dijangka bukan sahaja memperkasa ciri chatbot Meta AI, malah membuka peluang untuk pengalaman pengguna lebih dinamik dalam aplikasi popular mereka.
Sumber: Amanz