Malaysia Airlines kini melangkah setapak ke hadapan dalam dunia penerbangan dengan memperkenalkan kru kabin digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), dikenali sebagai Maya. Inovasi ini berfungsi seolah-olah seorang kru kabin sebenar, dengan kemampuan menjawab pelbagai pertanyaan penumpang sepanjang penerbangan.

Setakat ini, belum ada kepastian bilakah integrasi penuh Maya akan dilaksanakan dalam operasi penerbangan. Namun, melalui sesi demonstrasi yang dipertontonkan, Maya dilihat mampu memahami soalan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, walaupun jawapan diberikan dalam bahasa Inggeris.
Memandangkan teknologi ini masih di peringkat awal, Maya dijangka akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa. Dengan sokongan AI, ia berpotensi menjadi lebih pintar melalui pembelajaran berterusan berdasarkan pertanyaan yang diajukan oleh pengguna.
Langkah ini menjadikan Malaysia Airlines antara syarikat penerbangan terawal di dunia yang memperkenalkan kru kabin digital berkuasa AI. Tidak mustahil pada masa akan datang, kita bakal melihat lebih banyak variasi watak maya diperkenalkan bagi meningkatkan pengalaman penumpang di udara.
Sumber: Amanz