
Donald Trump baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif import sebanyak 100% terhadap cip dan semikonduktor yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat. Menurut beliau, satu-satunya cara untuk mengelak cukai ini adalah dengan menghasilkan komponen tersebut di dalam negara. Walaupun tarikh pelaksanaan rasmi belum diumumkan, langkah ini dijangka memberi kesan serta-merta terhadap pelbagai industri global termasuk komputer, peranti pintar, automotif, dan barangan elektronik harian yang bergantung kepada cip untuk berfungsi.
Malaysia antara negara yang bakal menerima impak besar akibat dasar ini. Hal ini kerana semikonduktor dan komponen elektronik merupakan eksport utama Malaysia ke pasaran Amerika. Pada tahun 2024 sahaja, Malaysia mencatat nilai eksport sebanyak $23.68 bilion (~RM100 bilion) dalam kategori ini, dengan $16.2 bilion (~RM68.5 bilion) daripadanya terdiri daripada cip semikonduktor – bersamaan 20% daripada jumlah keseluruhan import cip oleh Amerika. Kenaikan tarif ini dijangka menyebabkan penurunan mendadak terhadap permintaan produk Malaysia dan sekaligus memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, terutama dalam sektor teknologi dan pengilangan.
Di samping menjejaskan ekonomi Malaysia, dasar ini juga berpotensi menggugat kestabilan rantaian bekalan global. Ia mungkin memaksa syarikat antarabangsa mengubah strategi operasi dan memilih lokasi pengeluaran baharu yang lebih kos efektif. Ini memperlihatkan bahawa pendekatan proteksionis Trump untuk mengutamakan pengeluaran domestik Amerika Syarikat boleh mencetuskan cabaran besar terhadap ekosistem teknologi global. Malaysia, sebagai antara pengeksport utama semikonduktor dunia, perlu bersedia menghadapi kesan jangka pendek dan panjang daripada perubahan dasar ini.