Google kini mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk menggabungkan Android dan Chrome OS menjadi satu sistem operasi yang lebih bersatu pada masa hadapan. Perkara ini disahkan oleh Sameer Samat, Presiden Ekosistem Android Google, dalam satu temu bual bersama TechRadar.
Menurut Samat, inisiatif ini merupakan usaha strategik Google untuk memberikan saingan yang lebih kukuh kepada iPad, khususnya dalam pasaran tablet dan peranti hibrid. Walaupun Google telah memperkenalkan sistem operasi khas untuk tablet sejak Android Honeycomb pada tahun 2011, pembangunan ciri khas untuk tablet Android dilihat semakin perlahan dan kurang diberi tumpuan.
Usaha menyatukan kedua-dua sistem ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak tahun 2016, Google telah mula menguji potensi integrasi ini melalui projek Andromeda OS. Kemudian, pada Jun tahun lalu, Google mendedahkan bahawa Chrome OS akan dibangunkan dengan elemen Android, khusus untuk menyokong ciri-ciri berasaskan AI.
Kini pada tahun 2025, Android 16 turut memperkenalkan sokongan mod desktop secara rasmi, sesuatu yang sebelum ini hanya wujud melalui inisiatif pengeluar seperti Samsung DeX. Ini menunjukkan arah yang jelas ke arah penggabungan penuh antara dua sistem operasi utama Google.
Dengan Apple telah lama menyeragamkan pengalaman antara iOS, iPadOS dan macOS, langkah ini dilihat sebagai tindakan penting bagi Google untuk terus relevan dalam ekosistem peranti pelbagai bentuk dan menyaingi pengalaman premium yang ditawarkan oleh Apple.
Sumber: Amanz



