CEO Intel Bertemu Trump di White House Untuk Selesaikan Isu Kontroversi

CEO Intel Bertemu Trump di White House Untuk Selesaikan Isu Kontroversi

Lip Bu Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, dijadualkan bertemu Presiden Donald Trump di White House hari ini dalam usaha menjernihkan keadaan selepas kontroversi minggu lalu. Sebelum ini, Trump menggesa Tan meletakkan jawatan atas dakwaan mempunyai konflik kepentingan ekoran pelaburan beliau di China.

Menurut laporan Wall Street Journal, pertemuan ini bertujuan memberikan ruang kepada Intel untuk menjelaskan komitmen syarikat terhadap Amerika Syarikat serta memperincikan latar belakang peribadi dan profesional Tan. Dalam masa sama, Intel akan mengemukakan cadangan kerjasama strategik dengan kerajaan AS demi memajukan industri cip negara.

Sesi ini juga menjadi peluang untuk Intel melobi pengecualian daripada tarif import 100% ke atas cip dan semikonduktor yang dikenakan oleh Trump, seperti pengecualian yang telah diberikan kepada syarikat gergasi lain termasuk TSMC, Samsung, dan SK Hynix.

Di AS, beberapa ahli politik pro-kerajaan menuduh Tan sebagai “ejen” China kerana memiliki syarikat pelaburan di negara tersebut, sambil mempersoalkan kesetiaan beliau kepada “negara kelahiran China”. Namun, dakwaan ini tidak tepat kerana Tan sebenarnya dilahirkan di Muar, Johor, Malaysia dan kini memegang kerakyatan Amerika Syarikat.

Pertemuan hari ini dijangka menjadi penentu sama ada Intel dapat mengekalkan hubungan baik dengan pentadbiran Trump dan memastikan operasi syarikat tidak terjejas oleh dasar perdagangan yang semakin tegas.

Sumber: Amanz

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *