BMW Group mengumumkan bakal memulakan produksi kereta sel hidrogen pertama mereka menjelang 2028, dengan kerjasama strategik bersama Toyota. Prototaip awal kenderaan hidrogen generasi ketiga kini sedang dibangunkan di Munich dan Steyr.

Menurut BMW, sistem sel hidrogen generasi baharu ini 25% lebih kecil berbanding model terdahulu, namun mampu memberikan kepadatan tenaga yang lebih tinggi. Reka bentuknya juga membolehkan ia diintegrasikan dengan senibina kenderaan masa hadapan, sekaligus memberi fleksibiliti kepada pelanggan untuk memilih pelbagai jenis pek kuasa.
Komponen baharu yang digunakan turut menawarkan kecekapan lebih tinggi, menjadikan kereta hidrogen BMW lebih efisien. Walaupun sistem pemanduan dibangunkan oleh BMW sendiri, sel hidrogen dibekalkan oleh Toyota, menggunakan spesifikasi yang ditetapkan oleh BMW.
BMW sebenarnya sudah lama bereksperimen dengan teknologi ini. Pada 2014, mereka memperkenalkan BMW 535iA yang menggunakan tren kuasa hidrogen Toyota. Seterusnya, model BMW iX5 Hydrogen dibina sebagai generasi kedua, namun hanya sekadar projek rintis tanpa penawaran komersial.
Sementara itu, Toyota terus menjadi syarikat automotif paling agresif dalam pembangunan hidrogen. Mereka percaya teknologi hidrogen mempunyai masa depan lebih cerah berbanding bateri elektrik sepenuhnya. Model Toyota Mirai sudah pun ditawarkan sejak beberapa tahun lalu, malah turut diuji di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan negeri itu sebagai hab teknologi hidrogen di Asia Tenggara.
Kerjasama BMW dan Toyota ini dijangka mempercepatkan lagi perkembangan kenderaan hijau alternatif yang lebih mampan untuk pasaran global menjelang akhir dekad ini.
Sumber: Amanz