Usahawan terkenal tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, mencatat sejarah apabila berjaya meraih jualan sebanyak RM1 juta dalam tempoh hanya 2 minit 32 saat menerusi platform TikTok Live. Kejayaan luar biasa ini tercapai menerusi jualan langsung koleksi Samma Bag Denim Edition di akaun TikTok rasmi beliau, @papalarisofficial, pada 1 Ogos 2025.
Pencapaian luar biasa ini turut disahkan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rekod jualan terpantas di platform TikTok Shop Malaysia, sekali gus mengatasi rekod terdahulu milik Khairul Aming yang mencatat RM1 juta dalam masa 3 minit 39 saat.
Menurut Aliff Syukri, kejayaan ini melebihi sasaran awal beliau, yang mensasarkan jualan RM1 juta dalam masa tiga minit. Acara jualan secara langsung ini disambut baik oleh pengguna TikTok, dengan stok produk habis hampir serta-merta selepas sesi jualan dimulakan.
Dalam usaha menghargai pelanggan, Aliff turut mengadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti pakej umrah, jongkong emas, percutian ke resort miliknya, dan produk eksklusif lain kepada pembeli bertuah.
Kejayaan ini mencerminkan potensi besar platform digital sebagai medium pemasaran efektif, selain mengukuhkan lagi kedudukan Aliff Syukri sebagai antara usahawan digital terkemuka Malaysia.
Sumber: Amanz



