Google mengumumkan kemas kini baharu untuk model generatif videonya, Veo 3, yang kini menyokong penghasilan video menegak (9:16) serta kualiti resolusi sehingga 1080p HD. Peningkatan ini diumumkan melalui platform Vertex AI, sekali gus menjadikan Veo 3 lebih fleksibel dan relevan dengan tren kandungan digital masa kini.
Sokongan format video menegak memberi kelebihan besar kepada pencipta kandungan kerana ia sesuai digunakan untuk platform media sosial popular seperti TikTok, Instagram Reels, dan YouTube Shorts. Dengan ini, pengguna tidak lagi perlu mengubah suai nisbah video selepas dihasilkan, sekaligus mempercepatkan proses penerbitan.
Selain itu, Veo 3 kini boleh menghasilkan video dalam resolusi 1080p, memberikan kualiti visual yang lebih jelas, tajam dan profesional. Ia menjadikan teknologi ini sesuai digunakan bukan sahaja untuk hiburan media sosial, tetapi juga dalam sektor pemasaran, dokumentari ringkas, mahupun pembentangan korporat.
Google turut memperkenalkan Veo 3 Fast, iaitu versi pantas dengan kos lebih rendah, yang membolehkan pengguna menghasilkan video generatif dalam masa lebih singkat. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk menjadikan teknologi AI video lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan industri, termasuk kreator kecil dan sederhana.
Dengan kemas kini ini, Google Veo 3 semakin kukuh bersaing dengan platform AI video lain seperti OpenAI Sora dan Runway, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam arena teknologi video generatif.
Sumber: Amanz