Insiden Pesawat Tempur TUDM: F/A-18 Hornet Terhempas

Insiden Pesawat Tempur TUDM: F/A-18 Hornet Terhempas

Sebuah pesawat tempur Boeing F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terhempas di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, sekitar jam 9.05 malam semalam. Rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan letupan pada bahagian enjin ketika pesawat sedang berlepas. Beberapa saat selepas itu, krew sempat melentingkan diri sebelum pesawat terbabit terhempas.

Kedua-dua krew iaitu juruterbang dan pegawai sistem senjata dilaporkan selamat, dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kepada orang awam kerana pesawat terhempas dalam kawasan lapangan terbang, bukannya kawasan perumahan berdekatan.

Insiden ini mencatat sejarah tersendiri kerana ia merupakan kali pertama pesawat F/A-18D Hornet TUDM terhempas sejak mula digunakan pada tahun 1997. Dengan nahas ini, inventori TUDM kini berkurangan kepada hanya 6 unit F/A-18D, selain 18 Sukhoi Su-30MKM dan 12 BAE Hawk 200 yang masih beroperasi. Pada masa sama, Kementerian Pertahanan masih dalam proses untuk memperoleh 32 unit F/A-18C/D daripada Tentera Udara Diraja Kuwait bagi menampung keperluan aset pertahanan negara.

Kebimbangan semakin meningkat apabila sebelum ini, dua insiden melibatkan aset TUDM berlaku pada tahun ini. Pada Mei lalu, sebuah BAE Hawk 208 mengalami kerosakan apabila gear pendaratan gagal berfungsi di Alor Setar. Sementara itu, pada Jun, pesawat pengawasan maritim CN-235-220 turut mengalami masalah gear pendaratan ketika mendarat di Kuching.

Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai usia dan ketahanan aset pertahanan negara. Malah, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pembelian pesawat tempur generasi kelima dari Amerika Syarikat, Perancis atau Rusia menjelang 2040, sekiranya proses mendapatkan F/A-18C/D daripada Kuwait terus tertangguh.

 

Sumber: Amanz

Related Posts
Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *