
Sony PlayStation 5 kini mencatatkan pencapaian baharu apabila jumlah jualan konsol ini telah mencecah 80.3 juta unit di seluruh dunia, menurut laporan kewangan terkini syarikat. Angka ini direkodkan hampir lima tahun selepas pelancaran rasminya, menjadikan PS5 setanding dengan prestasi jualan PlayStation 2 (PS2) dan PlayStation 4 (PS4) yang mencapai angka sama dalam tempoh serupa. Sebagai perbandingan, PlayStation 3 (PS3) hanya berjaya mencapai jumlah ini selepas tujuh tahun berada di pasaran.
Selain kejayaan jualan konsol, prestasi perniagaan PlayStation secara keseluruhan juga memberangsangkan. PlayStation Network (PSN) kini mempunyai 123 juta pengguna aktif bulanan, manakala sebanyak 65.9 juta unit permainan PS4 dan PS5 berjaya dijual antara April hingga Jun 2025, ia meningkat 12 juta unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Jika dibandingkan dengan pesaing, Xbox Series X dan Series S keluaran Microsoft hanya terjual sekitar 30 juta unit sejak dilancarkan pada 2020. Jurang besar ini dipercayai menjadi faktor Microsoft mula menawarkan permainan eksklusif Xbox di platform PlayStation 5 sejak tahun lalu, selain melesenkan penggunaan jenama Xbox kepada ASUS ROG Ally X.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan PS5 sebagai antara konsol permainan video paling berjaya, dan ia dijangka terus menjadi pilihan utama pemain di seluruh dunia berkat penawaran permainan eksklusif, prestasi grafik yang mantap, serta ekosistem PSN yang luas.
Sumber: Amanz