Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang, kebimbangan mula timbul terhadap kesan penggunaan AI seperti ChatGPT dalam kalangan pelajar. Kajian tertentu menunjukkan bahawa penggunaan AI yang berlebihan boleh menyebabkan penurunan aktiviti kognitif dan kemerosotan motivasi belajar apabila pelajar hanya bergantung sepenuhnya pada jawapan yang disuap.
Sebagai langkah proaktif, OpenAI kini memperkenalkan ciri terbaru yang dinamakan ChatGPT Study Mode. Ia merupakan satu mod khas direka untuk membantu pelajar mengulang kaji pelajaran secara lebih interaktif dan berkesan.
Berbeza daripada cara biasa ChatGPT menjawab terus kepada arahan pengguna, Study Mode memfokuskan kepada proses pemikiran. Pelajar akan dibimbing untuk memahami konsep terlebih dahulu sebelum menyelesaikan soalan. Contohnya, apabila ditanya soalan fizik, ChatGPT akan menerangkan formula atau prinsip yang berkaitan, dan pelajar perlu mencuba menyelesaikan sendiri soalan sebelum perbincangan diteruskan.
Menariknya, pelajar juga boleh meminta ChatGPT mencipta kuiz ringkas berdasarkan topik yang telah dipelajari dan menjadikan pengalaman belajar lebih menyeronokkan dan aktif, seolah-olah berinteraksi dengan seorang guru sebenar.
Fungsi ini boleh diakses oleh semua pengguna ChatGPT sama ada melalui pelan Free, Plus, Pro, atau Team, dan akan turut dilancarkan untuk pengguna ChatGPT Edu tidak lama lagi melalui langganan yang lebih berpatutan khas untuk pelajar.
OpenAI berharap dengan Study Mode, pelajar bukan sahaja menggunakan AI sebagai alat bantu, tetapi membina kemahiran berfikir kritis dan memahami pelajaran dengan lebih mendalam. Bukan sekadar menerima maklumat secara pasif.



