Sepanjang tahun ini, syarikat NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik GeForce RTX 5000, dengan model-model seperti GeForce RTX 5090 dan GeForce RTX 5080 dikenalpasti sebagai antara kad grafik paling berkuasa di pasaran pada masa ini.
Terkini, sebuah laporan yang diterbitkan oleh TweakTown melaporkan bahawa NVIDIA dijangka akan memperkenalkan siri baharu iaitu GeForce RTX 5000 Super menjelang penghujung tahun ini, berkemungkinan besar bertepatan dengan musim perayaan Krismas yang turut merupakan musim cuti utama di negara-negara barat.
Menurut laporan tersebut, NVIDIA berkemungkinan akan memperkenalkan tiga model utama dalam siri Super ini, iaitu:
GeForce RTX 5080 Super
GeForce RTX 5070 Ti Super
GeForce RTX 5070 Super
Dari segi spesifikasi, siri Super ini dijangka akan menampilkan peningkatan jumlah memori VRAM sebanyak 50 peratus berbanding model asal. Sebagai contoh, model GeForce RTX 5070 Super dijangka hadir dengan memori GDDR7 sebanyak 18GB, berbanding 12GB pada versi asal. Manakala GeForce RTX 5080 Super pula dijangka dilengkapi dengan 24GB memori GDDR7, berbanding 16GB sebelumnya.
Apa yang menarik, pelancaran siri GeForce RTX 5000 Super ini dijangka berlaku hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas pengenalan siri asal. Umumnya, varian Super diperkenalkan oleh NVIDIA sebagai kemas kini pertengahan kitaran produk sebelum pelancaran generasi baharu kad grafik yang seterusnya.
Segala maklumat rasmi dan perincian lanjut mengenai siri Super ini dijangka akan diumumkan oleh NVIDIA apabila semakin menghampiri penghujung tahun.
Sumber: Amanz
